Tuesday 14 June 2011

Coretan Rasa : Mahligai Impian Yang Hilang


Coretan Rasa : Mahligai Impian Yang Hilang

Semua insan yang hidup di dunia ini semuanya mempunyai matlamat dan tujuan. Begitu juga dengan hidupku, penuh dengan impian yang sungguh indah yang ingin kumiliki. Tapi seandainya berlaku disebaliknya bukanlah kehendak kita tetapi telah ditetapkan oleh ilahi. Mungkin telah ditakdirkan kita tidak bersama melayari hidup bahagia, walaupun setengah mati kau dan aku saling menyintai. Kasih sayang dan janji telah berpadu antara dua jiwa tapi andai tidak direstuinya kita tidak mungkin bersama.

Masih ku ingat pada permulaan janji dipadu kasih dirasai jiwa dan hatiku teramat gembira, rasanya dunia ini kita yang punya tetapi antara kita masih ada batas-batas ketimuran yang tetap utuh dipelihara. Kita sering berutusan saban minggu bagi mengeratkan kasih sayang antara kita. Penantian dirasakan satu penyiksaan yang amat pedih, pabila utusan kasihmu kuterima hati tersenyum riang setiap saat, betapa utuhnya kasih antara kita. Bagiku engkau adalah cinta hatiku yang pertama bertahta. Ketika itu jiwaku suci mencintaimu dan menyayangi dirimu. Begitu jua dirimu menyayangi diriku sepenuh hatimu. Kau belai jiwa dan hatiku sejak aku masih remaja, masih di alam persekolahan.

Hadirmu ketika itu menjadi sumber ilaham dan inspirasiku untuk aku teruskan kehidupanku dibumi allah ini. Kegembiraanku hanya tuhan yang tahu. Tetapi entah kenapa tiba-tiba engkau hilang secara tiba-tiba di dalam kehidupan ku. Saban hari kunantikan utusan sayangmu namun hampa, aku menanti bagai menanti buah yang tak gugur, setiap hari hatiku mengharap dan mengharap, namun tiada kunjung tiba. Kau menghilang entah kemana, sehingga jiwa ku kacau dan kusut tiada haluan. Setiap detik merintih dan merana, betapa hancur hatiku, dikau pergi tanpa khabar berita. Pernah suatu ketika aku bagai membuat suatu keputusan yang diluar jangkaan manusia normal, jiwaku hilang tuju arah, mujurlah aku masih punya insan sekeliling yang masih menyanyangi diriku, atas nasihat dan memohon supaya aku berdoa kepada ilahi jiwaku kembali tenang dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Namun jauh disudut hatiku, walaupun engkau meninggalkan diriku, hati kecilku tetap mencintai dan menyanyangi dirimu kerana kau adalah insan pertama bertahta dihatiku. Ketika itu, aku berjanji pada diriku suatu ketika dan saat akukan cari dirimu walaupun tidak bersama, hanya sekadar mencari khabar berita dimana dirimu berada.

Doaku dimakbulkan ilahi, entah kenapa di dunia yang penuh dengan kecanggihan ini, kita dipertemukan semula didalam dunia dan keadaan yang berbeza. Ku lihat kau telah punya keluarga yang sungguh bahagia, begitu juga diriku mempunyai keluarga pada zahirnya sungguh bahagia. Hatiku pada zahirnya amat bahagia namun jauh disudut hatiku kau tetap yang terbaik untukku. Aku pasrah ketentuan ilahi. Pada dasarnya kita masih boleh berhubung dengan matlamat sebagai sahabat. Akupun tidak menyangka kita dipertemukan semula, pada mulanya aku terkejut dan ada ketikanya aku bersyukur dapat khabar berita dari mu yang selama ini aku masih juga tercari-cari, akhirnya aku dipertemukan semula denganmu. Walaupun hakikatnya keadaan kita berbeda, ini adalah ketentuan ilahi yang tidak dapat disangkal, semua telah tertulis, mungkin ada hikmah disebaliknya. Andai ku menutup mata pada ketika ini hatiku puas kerana insan yang selama ini kucari-cari telah kutemui walaupun kita tidak bersama. Aku berpegang kepada kata-kataku sendiri " walaupun kita mencintai dan dicintai tetapi tidak semestinya kita memilikinya, walaubagaimanapun kehidupan tetap diteruskan disamping kita jangan lupa teruskan berdoa kepada ALLAH". Islam tidak menghalang supaya antara umatnya bersahabat malah islam menghalang antara kita memutuskan tali silaturahim. Aku dan kau masih boleh bersahabat dengan batas-batas yang telah ditetapkan tanpa mempunyai perasaan selain daripada seorang sahabat.

Ada ketikanya hidup kita gembira dan ada ketikanya sedih, itu sudah menjadi lumrah kehidupan. Aku gembira kita dipertemukan tetapi ada ketikanya aku sedih mengenangkan kita tidak bersama. Semua mahligai impian yang kita harapkan tidak kesampaian, berkecai di tengah jalan hilang begitu saja tapi semuanya ketentuan ilahi kita tidak dapat menghalangnya. Hanya aku dapat berdoa kepada ilahi semoga hidupmu bahagia bersama keluarga tersayang dan aku harap antara kita akan terus bersahabat. Aku hanya ingin melihat hidupmu bahagia di dunia ini kerana bagiku engkaulah segala-galanya.

Bumi ini bulat dan dunia ini betapa kecilnya, sejauh mana kita berada, akhirnya lambat laun berjumpa juga. Itulah kebesaran ilahi. Disudut hatiku, aku gembira antara kita telah membina haluan masing-masing, mungkin ada sebab tersendiri kehidupan kita ditentukan begitu.

Nukilan : maz mmy/melaka

No comments:

Post a Comment