Wednesday 13 April 2011

Perjalanan Hidupku 2

Bingkisan Pengalamanku 2


Tanggal 27 November 1988 aku selamat diijab kabulkan dengan seorang pemuda yang telah berjaya mencuri hatiku setelah bersusah payah cuba mendekati diriku. Bukan apa ketika itu, hatiku begitu sukar menerima kehadiran seorang lelaki kerana aku pernah dikecewakan dan ditinggalkan. Tapi dia begitu tabah dan sabar dengan kerenahku dan mencuba dan terus mencuba untuk memikatku. Berbagai cara digunakan diantaranya melalui kawan-kawanku dan sepupuku. Akhirnya timbul rasa simpati dan kesian kerana dia mencuba tanpa putus asa. Aku perhatikan dan dapat rasakan, yang dia begitu mengambil berat terhadapku. Aku akhirnya cuba menerimanya sedikit demi sedikit sehinggalah kami diijab kabulkan. Maka mulai tarikh itu, sahlah aku menjadi miliknya. Kisah silamku itu, ku cuba lemparkan tapi jauh disudut hatiku aku masih mengingatinya. Aku menjalankan kewajipanku sebagai seorang isteri seperti isteri-isteri insan yang lain.

Tidak sampai satu bulan kami berkhawin aku disahkan mengandung. Suamiku gembira tak terkata. Dia melayanku bak puteri. Ada masanya aku mengambil kesempatan atas kebaikannnya. Kekadang saja aku mahu dia melayanku. Tapi dia tetap sabar dan menurut saja tanpa banyak bicara. Aku apa lagi seronoklah.  Kelahiran pertama ini, aku tak kisah putera atau puteri yang lahir, yang penting aku selamat. Alahamdulillah aku selamat melahirkan seorang puteri,. kuberi nama Nur Diyana yang lahir pada 28 Ogos 1989.  Sewaktu di dalam tempoh berpantang satu saat yang semua ibu-ibu melaluinya, nak tak nak kena ikut semua pantang larangnya, ibuku menjagaku dari aku bersalin sehingga 44 hari. Ibuku membawaku pulang ke kampung. Kesian suamiku hanya balik pada hujung minggu saja. Aku bekerja, habis saja tempoh cuti bersalinku akupun pulang ke rumahku sendiri dan meneruskan kerjaku semula. Anakku kuhantar kerumah pengasuh. Kebahagian kami bertambah dengan kehadiran puteri pertama kami.

Selepas 2 tahun lebih aku disahkan mengandung lagi, kali ini aku mengharapkan seorang putera tetapi saat dinanti tiba, tanggal 9 Disember 1991, Nur 'Izzati kulahirkan. Aku tak kisah jua tapi suamiku rasa agak kecewa tapi tuhan telah menentukan, kita tiada berdaya melawannya. Pada 11 Mei 1995 aku melahirkan anak ketiga, puteriku Nur Haziqah kuberi nama, aku rasa ibu mertuaku mula menyuarakan suara yang kurang enak didengar, tapi apa hendak dikatakan, aku kata padanya tuhan telah menentukan, apakan daya. Suamiku diam saja apabila suara-suara menyindir setiap kali balik kampung. Selang beberapa tahun aku mengandung anak ke 4, tanggal 8 September 1997 seorang puteri lagi aku lahirkan, aku sendiri rasa sedih tapi apakan daya kehendak ilahi, mungkin ada hikmahnya.

Akhirnya aku disahkan mengandung anak ke 5 pada usiaku 34 tahun, aku nekad ini adalah kelahiran terakhir aku kerana aku dah tak sanggup lagi bertarung nyawa sebab proses mengandungkan anak-anakku yang ke 4 dan ke 5 cukup berat dugaannya. Rumah keduaku adalah hospital, tanganku sentiasa disuntik jarum, bengkak sana sini bila aku dimasukkan ke hospital. Aku nekad, ini adalah kali terakhir aku mengandung. Pabila usia kandunganku menjangkau 6 bulan aku mula bertanyakan kepada doktor yang merawatku, anakku putera ataupun puteri. Doktor hospital memberitahuku supaya aku banyakkan berdoa semoga mendapat seorang putera. Doktor tersenyum bila bertanyakan berapa anak aku dan berapa perempuan atau lelaki. Tidak cukup dengan membuat imbasan di hospital aku pergi klinik swasta. Dua klinik aku pergi mereka menyatakan hasilnya anak lelaki. Aku gembira bukan kepalang. Tambahan pula aku selalu bermimpi kononnya aku sering pergi ke kebun dan memetik berbagai jenis buah yang semuanya besar-besar tidak seperti saiz buah biasa. Aku bertanya pada ibuku apakah maksud mimpiku itu, dia hanya menyuruh aku berdoa kepada allah. Hari yang ditunggu dan dinantikan kelahiran anak yang ke 5 pun tiba.

Hari Jumaat , Tanggal 13 Oktober 2000 jam 1.20 petang betul-betul bilal sedang azan di masjid yang berhampiran, lahirlah putera yang aku nanti-nantikan. Aku masih ingat, sewaktu anakku lahir , doktor menyuruh aku melihat apakah jantinanya tapi aku tidak nampak, lantas aku meminta cermin mataku, lalu barulah jelas jantina anakku, sah lelaki, doktor mengambil semula anakku dan membersihkannya lalu menghantar anakku ke nursery kanak-kanak. Selepas selesai semuanya, doktor mencari suamiku, tapi dia tiada di bilik menunggu, doktor kata mungkin dia pergi ke masjid. Kebetulan telah masuk waktu solat jumaat, aku di tolak masukkan ke wad biasa bertemankan nurse sahaja, selepas solat jumaat barulah suamiku datang dan mencari-cari aku di wad. Apa nak dikatakan. terima ajelah. Suamiku berjumpa denganku bukannya bertanya aku sihat ke tidak tapi terus dia bertanya anak apa. Terasa juga sedih tapi aku ketepikan aje perasaan tu. Lantas aku memaklumkan anak lelaki. Lalu dia terus berlalu, aku ingatkan buat apa rupa-rupanya dia membeli pisang 2 tandan menghantar ke Masjid Kampung Hulu Melaka (masjid yang tertua di Malaysia). Suamiku datang semula ke wad lalu menceritakan apa yang dibuat, aku hanya mampu tersenyum sebab sakit masih terasa. Dua hari aku diwad tersebut. Aku di bawa pulang ke rumah ku sendiri. Ibuku juga turut menunggu dirumahku. Aku tidak mahu menyusahkan ibuku lagi, sewaktu tempoh berpantang , dalam tempoh berpantang semua kerja-kerja rumah, menguruskan anak-anak sekolah terpikul dibahu suamiku. Biasalah aku direhatkan untuk tempoh tersebut. Masih ku ingat semua proses menanam uri-uri anakku dibuat oleh suamiku sendiri. Aku tidak tahu entah kenapa, suamiku boleh mengurusnya, dengan hanya ditunjuk ajar oleh ibunya dan ibuku. Alahamdulillah... Kelahiran puteraku yang diberi nama Haziq Izzuddin cukup bermakna untuk kami sekeluarga. Ianya menjadi pelengkap keluargaku.

Syukurlah kehadrat Ilahi. Kini tugasku dan suamiku hanya ingin membesarkan anak-anak supaya menjadi insan yang berguna di dunia dan akhirat. Kami akan memikul tanggungjawab amanah allah dengan sebaik mungkin. Semoga allah akan mempermudahkan segala urusan di dalam soal mendidik mereka.

Cetusanrasa : maz mmy/melaka


No comments:

Post a Comment