Thursday 14 April 2011

Perjalanan Hidupku 1

Bingkisan Pengalamanku 1 : Alam persekolahanku
 
Zaman persekolahan merupakan alam yang sungguh indah dan manis. Aku teringat kembali tahun (1979-1983) di alam persekolahanku. Rasanya mahu kembali ke zaman itu, tapi mustahil terjadi, usiaku kinipun telah menuju ke penghujungnya. Cuma sesekali teringat zaman remaja dulu, alangkah seronoknya. Waktu itu kenangan pahit dan manis semua dirasakan. Setiap  insan mesti  melaluinya. Seandainya dapat ku putarkan masa itu, alangkah bahagianya. Apa taknya zaman remaja penuh dengan keceriaan. Riang ria bersama teman-teman, tiada masalah yang perlukan difikirkan hanya belajar aje. Berbanding dengan waktu usia matangku ini, berbagai masalah hidup yang melanda. namun semuanya kulalui dengan ketabahan dan kesabaran.

Masih kuingat, aku di sekolah punya teman yang cukup ramai, mana taknya, masa tu, aku aktif bersukan, berpersatuan, kelab beruniform dan ahli koperasi sekolah. Aku punya kumpulan aku sendiri. Antara kumpulanku seperti Adilah, Rahmah, Rosilah, Maimon, Shaari, Harun, Sapri, Roslan dan ada beberapa orang lagi. Dikalangan guru-guru, kumpulan kami cukup terkenal, kami bukanlah pelajar yang nakal tapi pelajar yang cukup aktif memasuki berbagai aktiviti sekolah, kumpulan kami mesti tidak ketinggalan. Dimana ada aku, mesti ada yang lain-lain. Kami cukup rapat seperti adik beradik.

Paling seronok kalau musim buah-buahan, ada diantara guru-guruku pernah datang hingga ke dusun mencari buah durian, guru-guru kami mestilah seronok dapat makan buah-buahan. Begitu juga,  jikalau ada majlis buat bubur asyura ke, majlis sambutan hari guru ke, aku dan teman-teman mesti ambil bahagian. Ada yang mengambil bahagian bernasyid, menyanyi dan lain-lain. Masih ku ingat ada cikgu bujang kami usik-usik dengan cikgu perempuan bujang, saja-saja kata cikgu kirim salam dan sebagainya akhirnya mereka berkhawin atas usikan aku dan teman-teman.

Banyak lagilah cerita-cerita yang tak mungkin aku lupakan ketika di alam persekolahan. Kenangan silam datang apabila aku duduk sendirian, pahit manis semuanya kulalui bersama teman-teman. Aku dan teman-teman semuanya ahli Persatuan Bulit Sabit Merah, kami sering di undang ke sekolah-sekolah yang lain jika ada majlis sukan dan sebagainya. Bangga rasanya penat lelah kami dihargai oleh guru-guru. Dalam kumpulan aku tu, ada yang hangat bercinta bagai nak rak, sewaktu di sekolah. malah guru-gurupun mengetahui hubungan mereka. Kemana saja kami berada dia mesti ada bersama.

Teringat aku, peperiksaan SPM disekolah pada tahun 1983 dan kami adalah merupakan calon-calon SPM pertama kali yang diadakan di Sekolah Menengah Datuk Bahaman, Lanchang, Pahang. Semasa sedang mengambil peperiksaan SPM kami terlalu tension, waktu tu kami tinggal di rumah sewa, aku masih ingat sewaktu filem Mekanik ditayangkan di pawagam, aku dan teman-temanku boleh keluar menonton wayang. Habis menonton wayang, kami balik rumah barulah sambung mengulangkaji,  SPM telah habis kami tempuhi dan sampai masanya kami berpisah, tuhan saja yang tahu perasaan kami, macam jejak kasih. Airmata bagai air sungai mengalir laju. Sempat juga kami buat 'bbq' dirumah sewa kami, pinjam barang-barang dengan kakak angkat kami dekat balai polis Lanchang. Seronok betul malam tu, kami panggil jiran-jiran dekat rumah kami. Esoknya kami pulang ke rumah masing-masing dengan perasaan hiba sebab telah berakhirnya alam persekolahan kami.

Setelah keputusan peperiksaan SPM diumumkan, ada diantara kami yang berjaya dan ada yang hanya cukup makan aje, termasuklah aku. Aku mengambil keputusan untuk terus bekerja dan aku berhijrah ke Shah Alam. Rezeki berpihak kepadaku, aku memulakan pekerjaan di salah sebuah ipta . Syukurlah sehingga sekarang aku masih bekerja. Waktu itu, aku mendapat berita temanku yang bercinta bagai nak rak kat sekolah dulu, telah berkhawin dengan orang lain, teman-temanku mendengar berita itu, agak terkejut tapi itulah namanya jodoh, kita merancang tuhan menentukan.

Itulah rentetan alam persekolahanku yang penuh dengan kenangan pahit dan manis. Aku teringat semuanya yang hanya tinggal sejarah dan memori indah yang tak mungkin berulang kembali.

Nukilan : maz mmy/melaka





No comments:

Post a Comment