Friday 15 April 2011

Cerpen Pendek : Hadirnya Sebuah Cinta 1

Cerpen : Hadirnya Sebuah Cinta 1

Alam remaja hanya sekali dilalui oleh semua insan didunia ini. Tidak ketingalan diriku ini, termasuk dalam golongan itu. Pernah dicintai dan mencintai. Alangkah manisnya waktu itu.

Masih ku ingat lagi, waktu aku mengenal erti cinta terlalu muda usiaku. Aku masih di alam persekolahan lagi. Ketika itu usiaku baru 15 tahun. Perkenalan ku bermula dengan mengenali si dia melalui rancangan radio yang ketika itu begitu popular. Aku begitu meminati rancangan radio ‘Distenasiku’ ketika itu diacarakan oleh juruhebah Cuari Selamat.

Aku menerima banyak surat-surat ketika itu. Posmen di kampungku terpaku melihat begitu banyak surat untukku. Satu kampong heboh. Aku tak peduli apa orang kampong cakap. Hari-hari mendatang surat terus kuterima. Semua surat-surat yang kuterima aku baca satu persatu. Bermacam-macam utusan diberikan. Semuanya ingin berkenalan. Tapi entah kenapa aku terpaku dengan sepucuk surat yang berwarna biru kertasnya. Ku buka surat tersebut dengan penuh minat. Tutur kata surat tersebut begitu indah dan tersusun.

Aku lantas mencapai pen dan kertas membalas surat tersebut menyatakan hasrat menerima salam perkenalan darinya. Seminggu selepas itu aku menerima surat balasan dari nya. Bermula dari detik itu utusan demi utusan aku terima darinya. Waktu itu aku masih di alam persekolahan, banyak kata-kata peransang untuk terus aku maju dalam pelajaran. Aku menduduki peperiksaan SRP dan meneruskan belajar ke tingkatan 4 dan 5. Kami terus berhubungan sehinggalah semasa aku di tingkatan 5 aku menerima surat yang lain dari yang darinya. Isi kandungannya sungguh berbeza, ia melahirkan rasa isi hatinya yang ianya amat mencintai dan menyayangi diriku. Hati dan perasaanku ketika itu, hanya tuhan aje yang tahu. Sebenarnya aku menantikan saat ayat-ayat cinta diluahkan kepadaku, akhirnya perasaan kami sama saling menyintai dan menyayangi. Dari saat itu, hatiku benar-benar telah dicuri dan ini merupakan cinta pertamaku terhadap insan yang bernama lelaki.

Waktu itu, hubungan kami hanya dihubungkan dengan surat, kami tidak pernah berjumpa atau bertelefon seperti cinta remaja zaman sekarang. Betapa susahnya waktu itu tapi kami tetap meneruskan hubungan dengan perasaan yang sungguh syahdu dan romantik. Siang malam aku menantikan utusan surat-surat cinta darinya. Begitu juga dia tetap menanti dan menanti. Bermacam-macam kata manis dihulurkan kepadaku. Aku menerimanya dengan penuh kasih sayang, padaku saat dan ketika itu hanya dia yang bertahta dihatiku. Dunia ini kami yang punya, tapi kami tak pernah berjumpa. Hanya utusan surat menghubungkan kami. Kami saling berhubungan sehinggalah aku ingin menduduki peperiksaan SPM. Buah hatiku sentiasa memberikan kata-kata semangat agar aku terus belajar dan menduduki peperiksaan SPM dengan beroleh kejayaan.

Peperiksaan SPM kulalui dengan penuh semangat disamping sokongan dari buah hatiku sehinggalah selesai hari peperiksaan. Pabila SPM ku habis aku mengisi kekosongan waktu dengan mencari pekerjaan di Bandar Kuantan. Waktu yang terluang kekasihku terus berutusan denganku tanpa jemu. Surat demi surat cinta ku dapat darinya sehinggalah keputusan SPMku diumumkan. SPMku kuperolehi tidaklah begitu memberangsangkan sekadar cukup makan bagi membolehkan aku mendapatkan pekerjaan. Aku bersyukur aku tidak terkandas. Ada sahabat-sahabatku tidak sebaik aku keputusannya. Aku bernasib baik.

Akhirnya aku membuat keputusan untuk aku tidak menyambung pelajaranku ke mana-mana, aku ingin mencari pekerjaan bagi membantu keluarga kerana adik beradikku masih ramai yang bersekolah. Aku berhijrah ke Shah Alam dengan memulakan pekerjaan di sebuah koperasi institusi pengajian tinggi di situ, walaupun gajinya kecil dapatlah aku menampung sara hidup seharian disamping membantu keluarga di kampong. Ketika di Shah Alam, aku dan sidia terus berhubungan. Aku menetap di rumah sewa yang dikongsi bersama teman-teman bujang yang lain. Kami mula berhubungan dengan talian talipon kerana ketika itu mudah berhubungan. Biasalah kalau bercakap talipon tidak tahu sekejap, berjam-jamlah bergayut, ada saja topic yang dibualkan. Kami tak kisah apa orang nak cakap janji dapat bercakap talipon. Pekakkan telinga ajelah, kalau ada suara-suara teman yang menyindir. Tapi teman-temanku sporting,cuba memberi ruang kepadaku untuk aku melepaskan rindu pada kekasih hati.

Sehinggalah pada suatu hari sampailah masa dan ketika kami menjanjikan sebuah pertemuan pertama. Pada hari itu, hari minggu kami tidak bekerja. Kami membuat pertemuan pertama, dia begitu merendah diri katanya dia tak ada kenderaan hanya sebuah motosikal. Aku tak kisah naik apapun janji dapat berjumpa dengannya. Dia mengambilku dengan menaiki motosikal dan kami pergi berjalan-jalan disekitar Kuala Lumpur. Aku begitu seronok sekali maklumlah dapat berjumpa dengan buah hati, aku lega dapat berjumpa dengannya, rindu selama bertahun-tahun terlerai, tapi kami masih menjaga tata susila kita orang islam. Pertemuan kami berterusan sehingga petang. Sepanjang pertemuan kami banyak perkara yang dibualkan hingga tak sedar hari dah menjelang senja. Aku dihantar pulang sebelum magrib tiba. Hari tu sungguh bermakna pada diriku.  

Ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan ditengahari, selepas pertemuan pertama itu, aku mula rasa ada perubahan pada dirinya, dia mula menunjukkan perubahan jarang menalipon aku, bila ditanya katanya sibuk dengan pekerjaannya. Aku menjadi binggung dan tertanya-tanya, apakah salahku. Hari berganti hari, minggu berganti minggu dan bulan berganti bulan dia langsung tidak menghiraukan aku lagi, khabar berita langsung tak ada, bila aku menghubunginya berbagai alasan yang diberikan. Tiada kata-kata indah diungkapkan lagi, sehinggalah aku ditinggalkan dengan gantung tak bertali. Dia lenyap begitu aje. Akupun tidak tahu kenapa dan mengapa tanpa alasan yang kukuh, aku ditinggalkan begitu saja. Perasaan dan hatiku ketika itu, hanya tuhan saja yang tahu.

Aku jatuh sakit kerana mengenangkan dia kerana aku teramat sayang terhadapnya. Merana hidupku ketika itu, diriku tidak terurus, makan minum entah kemana. Aku terlalu menyayanginya kerana dia adalah cinta pertamaku. Hati dan perasaanku hanya untuknya. Pernah satu ketika aku membuat keputusan diluar perasaan waras. Aku begitu kecewa dan putus asa, aku bertanya kepada diriku, kenapakah orang yang aku sayangi sanggup meninggalkan aku begitu saja tanpa sebarang berita. Tubuh badanku menjadi susut mendadak. Hati dan perasaan entah dimana kurasakan jiwaku tiba-tiba kosong , melayang-layang, terawang-awang tiada hala tujuan. Hidupku seolah-olah telah musnah kerana sebuah cinta. Betapa hebatnya cintaku padanya. Tapi dia sanggup membiarkan aku begitu saja ketika aku dahagakan kasih sayangnya. Kejamnya dunia ketika itu, membiarkankan diriku merana dan kecewa. Aku menangis sepuas-puasnya. Siang malam bertemankan airmata. Hancur luluh hatiku berkecai tiada haluan terumbang ambing, sehingga pekerjaan akupun terganggu.

Akhirnya ibuku menjemputku membawa pulang ke kampong bagi mengubati diriku yang dilihatnya sakit ketika itu. Ibuku tidak tahu apakah penyakit aku sebenarnya. Aku tidak menceritakan perkara sebenarnya kepada ibuku, yang ibuku tahu aku demam panas dan sakit di dalam perut. Mujurlah ibuku cepat menyelamatkanku dan aku sendiri masih punya sedikit keimanan mengenangkan aku orang islam, kalau tidak mungkin aku tiada lagi di dunia sekarang ini. Berbagai cara ibuku ikthiar bagi  menyembuhkan kesihatanku,akhirnya dengan berkat usaha dan doa ibuku kepada allah aku sembuh seperti sediakala. Hampir dua bulan aku di kampong sehinggalah pada suatu hari aku mengagahkan diri memberitahu ibuku bahawa aku ingin bekerja semula.

Ibuku memberi kebenaran untukku meneruskan hasratku bekerja di Shah Alam. Aku memohon pekerjaan disebuah ipta di Shah Alam akhirnya aku berjaya memperolehi pekerjaan pada tahun 1986. Aku berazam dan bertekad ingin memulakan pekerjaan ku dengan semangat yang baru dan melupakan semua kenangan silamku. Tapi hati kecilku tak pernah melupakan namanya, setiap tahun apabila sampai tarikh lahirnya hatiku tetap mengingatinya. Tapi apakan dayaku, sudah suratan takdir, mungkin ada hikmah disebaliknya.

Aku akan cuba meneruskan kehidupanku sebaik mungkin walaupun tanpa insan yang ku sayangi. Aku bersyukur kerana aku masih mempunyai ibu dan keluarga yang masih menyayangiku walaupun bukannya dari cinta seorang lelaki. Aku bermohon kepada yang esa supaya hidupku dapat diteruskan dengan keyakinan dan kekuatan yang ada pada diriku. Begitulah berakhirnya episod hadirnya sebuah cinta yang tulus murni.


Nukilan rasa :

Maz mmy/melaka

No comments:

Post a Comment